Rabu, 4 Mei 2011

BETULKAH PAS MEMPERJUANGKAN ISLAM?


Soalan ini, “Betulkah PAS memperjuangkan Islam”, perlu diajukan kepada orang Melayu, umumnya, dan anggota-anggta PAS, khususnya, sekarang, dan perlu dijawab dengan betul. Ini kerana dua bahaya besar sedang mengancam negara kita dan boleh menyebabkan negara kita dijajah semula dan ketuanan Melayu lupus di tanahair orang Melayu sendiri. Dua bahaya besar itu ialah, pertama, kebangkitan semula imperialisme Inggeris-A.S. selepas tamatnya Perang Dingin, dan, kedua, kebangkitan kaum ulama jumud dan oporcunis dalam percaturan politik Islam di negara kita sejak Revolusi Islam Iran.

Sejak penyingkiran Anwar Ibrahim dari parti dan Kerajaan pada September, 1998, satu kekeliruan politik yang besar telah berlaku dalam masyarakat Melayu. Ramai pengulas politik, termasuk pemimpin-pemimpin parti pembangkang, menghuraikan kekeliruan ini kerana pengaruh dan wibawa Anwar Ibrahim sebagai seorang ahli politik dan pemimpin. Pada fikiran saya, ini tidak benar sama sekali.

Mereka yang mengikuti kerjaya politik Anwar Ibrahim dan prestasinya sebagai seorang pemimpin tahu bahawa Anwar bukan seorang pentadbir atau pemimpin yang baik. Semasa beliau menjadi seorang pemimpin dalam UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional selama enam belas tahun, tidak siapa pun boleh menunjukkan satu jasa beliau yang menonjol sama ada di peringat negeri atau kebangsaan. Yang jelas, beliau mempunyai dua kebolehan yang tidak ada pada Dr. Mahathir, pengasuh dan pendidik beliau dulu, dan musuh ketat beliau sekarang: iaitu beliau seorang ahli pidato dan seorang pelakon yang baik!

Jika Anwar bukan seorang pemimpin dan pentadbir yang hebat, apakah yang menyebabkan kekeliruan politik sekarang? Jawapannya mudah saja: kaum penjajah baru Inggeris-A.S,, di satu pihak, dan kaum agama jumud yang dipimpin oleh PAS, di pihak lain. Kedua-dua tenaga ini telah bergabung dan bersekongkol untuk menghancurkan benteng nasionalisme Malaysia di negara kita, iatu UMNO, umumnya, dan pimpinan Dr. Mahathir, khususnya. Di antara kedua-dua gergasi ini terselit segelintir pembela “hak asasi” dan “demokrasi”, dalam bentuk empat lima kerat peguam dengan cita-cita yang sama. Ketiga-tiga kuasa ini, yang telah pun curiga terhadap Dr. Mahathir sejak satu dekad yang lalu, melihat peluang mereka yang keemasan untuk menjatuhkan Dr. Mahathir (dan bersama-sama Dr. Mahathir, UMNO sendiri). Inilah rahsia “kekuatan” Anwar.

Oleh yang demikian, pimpinan UMNO dan Kerajaan dan penyokong-penyokong mereka tidak harus membesarkan perkara Anwar: tentang kepandaiannya membohong dan berlakon dan tentang pengaruhnya.  Mereka harus menumpukan perhatian mereka kepada mengkritik dan mendedahkan dua kumpulan ini, iaitu kaum penjajah baru Inggeris-A.S. dan kaum jumud PAS. Mereka harus menggembelengkan tenaga-tengaga patriotik dalam negeri untuk menghancurkan dua musuh bangsa kita ini sekarang. Oleh kerana kedua-dua musuh ini juga bersifat antarabangsa, maka strategi luar kita hendaklah juga menggembelengkan tenaga-tenaga anti-imperialis dan humanis untuk menumpaskan kedua-dua tenaga anti-kemanusiaan ini.

Gerakan PAS sekarang amat merbahaya kepada orang Melayu kerana tiga sebab. Pertama, mereka menggunakan sentimen Islam untuk mempengaruhi orang Melayu supaya menyokong politik sektarian dan oporcunis mereka. Kedua, fahaman Islam mereka menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Contohnya, teori “kepimpinan ulama” mereka itu ialah ajaran kaum paderi Kristen pada Zaman Pertengahan Eropah dulu, yang ditolak dalam Islam. Ketiga, fahaman mereka yang menolak patriotisme atau faham kebangsaan Malaysia menguntungkan kaum penjajah baru dan akan menyebabkan Malaysia dijajah semula. 

PAS lebih merbahaya daripada kaum penjajah baru dalam ertikata kaum penjajah baru ini lebih mudah dilawan daripada PAS. PAS sukar dilawan oleh kerana ia berselindung di sebalik agama Islam yang suci. Oleh yang demikian, pimpinan UMNO dan cerdik-pandai yang patriotik mestilah menyusun satu strategi yang menyeluruh untuk mengoyakkan topeng agama PAS serta mendedahkannya sebagai kaum oporcunis, dan, disamping itu, menunjukkan kepada rakyat perjuangan Islam yang sebenar sebagai satu cara hidup.
Untuk menunjukkan ajaran Islam yang sebenar, kita perlu berbalik kepada ajaran Quran sebagai sumber utama dan pokok. Sumber-sumber lain, seperti sejarah (termasuk Hadis), falsafah dan sains perlu ditapis oleh sumber utama Quran. Tidak ada jalan lain untuk menjawab dan meruntuhkan teori, dasar dan hujah-hujah PAS, kecuali dengan berbalik kepada ajaran Quran.

Quran mengajar kita supaya mewujudkan sebuah pimpinan masyarakat yang jujur dan berprinsip, tetapi pimpinan PAS sekarang mengajar rakyat menabur fitnah, berbohong, memaki-hamun dan mencarut. Quran mengajar kita bahawa tidak ada perantaraan antara seseorang individu atau masyarakat dengan Tuhan, tetapi pemimpin-pemimpin PAS melantik diri mereka sebagai “ulama” (baca: paderi) yang boleh memberikan kita syurga dan neraka! PAS menganjurkan Hukum Hudud yang tidak ada, malah ditentang dalam Quran, manakala Quran menyuruh kita memerintah dengan adil dan rahim dan membenarkan undang-undang nasional yang berbeza antara negara dengan negara. PAS mengasingkan dunia dari akhirat dengan menganjurkan cara hidup yang mundur, beku  dan pasif bagi umat Islam, sedangkan Quran menganjurkan cara hidup yang aktif, dinamik dan maju tanpa mengasingkan dunia dan akhirat  . PAS mendiskriminasi antara kaum lelaki dan wanita, sedangkan Quran mengajar kita persamaan lelaki dan wanita. Pendek kata, pemimpin-pemimpin PAS tidak layak untuk mentadbirkan sebuah negara moden, kerana mereka tidak mempunyai sebuah falsafah politik Islam yang moden.

Ini semua bukan salah Islam, tetapi salah pimpinan PAS yang menyempitkan pemahaman Islam kepada pemikiran mereka yang amat terbatas. 

Perkara-perkara yang kita sebut itu perlu dihuraikan kepada rakyat melalui buku, risalah, artikel, syarahan dan ceramah.  Ini satu cabaran besar kepada pimpinan UMNO dan kepada cerdik-pandai kita yang patriotik, kerana kebanyakan mereka selama ini, dari segi agama, menerima ajaran-ajaran “ulama” (yang tidak banyak berbeza dari fahaman PAS) tanpa soal. Walaupun ini satu cabaran besar, ia perlu dipikul sekarang, dan dipikul dengan berani dan penuh kesedaran dan tanggungjawab. Jika mereka gagal berbuat demikian, padahnya sangat berat. Ia boleh menyebabkan tanahair kita dijajah semula dan melupuskan ketuanan Melayu sama sekali.

Kita harap cerdik cerdik pandai Melayu yang berada dalam dan di luar UMNO, malah semua rakyat Malaysia yang patriotik,  akan mengambil berat tentang perkara ini dan bertindak segera, mengikut apa yang kita cadangkan di atas.

Kritikan kita terhadap PAS tidak bermakna kita menganggap UMNO dan Barisan Nasional sempurna dan tidak ada cacat-celanya. Tetapi cara kita membaiki kelelamahan-kelemahan kita harus dibezakan dengan sikap musuh terhadap kita. Tujuan musuh (kaum penajajah baru) ialah meruntuh dan memusnahkan negara dan bangsa kita. Oleh itu mereka mencerca pemimpin kita dan membohong dan membuat fitnah tentang negara kita. Di sesetengah negara, mereka bertindak lebih ganas: mereka mengenakan sekatan dan membom negara itu. Kita tidak boleh melakukan terhadap bangsa kita seperti yang dilakukan oleh kaum penjajah baru!

Pemimpin-pemimpin PAS yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam sepatutnya menunjuk teladan yang baik kepada rakyat bagaimana hendak membaiki pemerintahan dan negara kita, dan bukan mencaci, membuat pembohongan dan menabur fitnah. Mereka patut berusaha untuk menyatu-padukan dan bukan memecah-belahkan rakyat. Kita menyeru kepada pemimpin-pemimpin PAS supaya insaf dan balik ke pangkuat bangsa dan ke pangkal jalan, dan jangan jadi alat kaum penjajah baru untuk menghancurkan bangsa kita.

Dipetik dalam: http://qsmjam.stormloader.com/politik/ren21v.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan