Sabtu, 26 Februari 2011

Manusia berfikir



Satu sifat manusia yang membezakan mereka dengan makhluk lain di bumi ini ialah berfikir. Inilah yang memberi kedudukan taraf manusia lebih tinggi daripada semua makhluk yang lain. Diceritakan dalam Quran (2: 30) bahawa manusia itu diturunkan sebagai khalifah di muka bumi ini, iaitu sebagai raja. Keupayaan raja ini inilah berfikir, dengan menggunakan akal kretifnya membolehkan dia bertindak terhadap dunia dan mengubah dunia, menjadi raja dalam dunia ini, dunia dalam erti kata Alam Semesta. Demikianlah hebatnya kedudukan manusia yang diberikan Tuhan sehingga diperintahkan malaikat supaya sujud kepada manusia.

Dengan berfikir, manusia dapat mengetahui rahsia-rahsia alam, mengatur diri mereka, memberi makna dalam kehidupan, membezakan baik dan buruk, menyelesaikan masalah masyarakat dan sebagainya. Pentingnya manusia berfikir. Quran sendiri ditujukan kepada orang berfikir kerana Quran itu neraca, neraca di antara yang benar dengan yang palsu. Mana mungkin manusia boleh mengetahui kebenaran tanpa memikirkan terlebih dahulu. Orang yang beragama ialah orang yang berfikir, kata sebuah hadis, 'Agama itu akal; tiada agama jika tidak ada akal'. Ini menunjukkan kepada kita bahawa perlunya manusia menggunakan akalnya, yakni berfikir dalam menjalani kehidupan mereka.

Tidak diragui manusia akan sentiasa berfikir dari semasa ke semasa, dalam memilih pakaian yang diguna pabila pergi ke kerja, mengisi perut di waktu tengahari, menentukan jalan bila mahu pulang, memikirkan apa yang berlaku pada hari ini di kala mahu tidur dan dalam mengatur hidup mereka. Hal ini kerana bagi anak kecil berfikir itu mudah iaitu apa-apa operasi yang berlaku di dalam otak dikira sebagai berfikir. Cumanya saranan dan kedudukan tertinggi manusia sebagai khalifah ini bukanlah berfikir sebegini. Apa yang dimaksudkan ialah berfikir secara kretif dan rasional. Nah, ini yang jarang dilakukan oleh manusia, hatta anak kecil. Satu daripada sifat manusia, begitu juga dengan anak kecil ialah suka ikut orang ramai dan menerima apa-apa perkara, lebih-lebih lagi dalam hal berkaitan 'agama'.

Bagi anak kecil, berfikir secara kretif dan rasional ini jarang dilakukan. Kadang-kadang saja berfikir, itu pun akan lupa setelah beberapa lama kemudian. Baru-baru ini anak kecil jarang sekali berfikir kerana terlampau leka dengan keindahan dunia, demi mengembalikan usaha agar sentiasa berfikir, blog ini ditulis. Anak kecil akan berfikir dengan lebih lancar apabila diberikan assignment kerna apabila anak kecil menulis barulah pemikiran itu bergerak dengan baik. Atas sebab itu anak kecil menulis dalam blog ini kerana mahu menjadikan pemikiran sentiasa berjalan dengan lebih lancar dan tidak berkarat. Orang menulis blog mempunyai banyak tujuan sama ada mahu menceritakan pengalaman mereka sebagai manusia, menyampaikan ilmu, mencari kemegahan, berkongsi buah fikiran, meluahkan perasaan dan sebagainya. Bagi anak kecil tujuan utama menulis blog ini ialah mahu berfikir, kerana mahu menjadi manusia berfikir.